Tuesday 26 May 2015

Wahai anak kesayanganku

Wahai anak kesayanganku (pesanan Luqman)

Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar".

(Luqman menasihati anaknya dengan berkata): "Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya); kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi.

"Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.

"Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.

"Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai".

Surah Luqman : 31:13,16-19


Wednesday 29 October 2014

Menangani stres dengan solat


Dari perspektif Islam, stres adalah merupakan masalah jiwa yang perlu ditangani. Al-nafs adalah jiwa yang membezakan hakikat manusia dengan makhluk Allah yang lain. Jiwa dan perbuatan lahiriah yang baik memerlukan agama. Di antara perbuatan lahiriah yang baik menurut al-Ghazālī ialah mampu memilih perbuatan yang benar dengan yang salah serta mampu mengendalikan nafsu dengan hikmah, akal dan agama (Al-Ghazālī, 1982). Agama mengajar manusia kaedah-kaedah yang sudah ditentukan Allah yang bersesuaian dengan fitrah manusia. Ajaran ini disampaikan melalui Rasul dan Nabi untuk membolehkan manusia mengetahui kaedah mendekati Allah, hubungan dengan manusia, binatang dan alam keseluruhannya (Moh. Sholeh Imam Musbikin, 2005).  Tanpa agama jiwa manusia tidak mungkin mendapat ketenangan dan kebahagiaan dalam hidup. Kekosongan jiwa manusia boleh diisi dengan mendekatkan diri pada agama dan Allah Taala begitu juga dalam menangani masalah jiwa seperti stres. Manusia dibekalkan oleh Allah dengan fitrah beragama ketika dilahirkan ke dunia seperti firman Allah Taala (Fahrur Muis, 2009):                     

Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah), (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.     
           Surah al-Rūm - (30):30

Jiwa manusia menurut al-Ghazālī tidak terlepas dari dua kecenderungan (daya) iaitu kecenderungan syahwat dan amarah. Jika kecenderungan ini berlebihan dalam memenuhi fungsinya dan akal tidak mampu mengendalikannya maka akan tumbuhlah sifat kerakusan dan kebuasan. Perilaku menyimpang berpunca dari dua kecenderungan ini kerana lemahnya akal dan lalainya jiwa manusia terhadap Tuhannya. Sebaliknya jika kecenderungan ini dikendalikan dengan wajar menurut batas akal dan agama akan muncul perilaku sihat (al-sihhah) seperti mampu mengurus diri (al-‘iffah), merasa puas (al-qanā ‘ah), tenang (al-hadu’), zuhud, wara‘, takwa, lapang dada, bersikap baik, punya malu, ramah dan suka membantu (Al-Ghazālī (1982) dan Moh. Sholeh Imam Musbikin (2005)).
Jiwa manusia dalam keadaan stres tidak boleh lari dari mengingati Tuhan atau berzikir untuk mendapat ketenangan hati seperti firman Allah Taala:"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia 
Surah al-Ra'd (13):28

Stres yang sering melanda manusia dapat diubati dengan solat, ini kerana solat mengandungi zikir, dan zikir sekiranya dilakukan dengan khusyuk mampu mendamaikan hati (Danial Zainal Abidin, 2009). Rasulullah s.a.w. dalam sabdanya: "Seorang hamba paling dekat dengan Tuhannya ketika dia sedang bersujud ". Waktu sujud yang lama, berguna untuk menambah bekalan darah untuk kepala. Kemudian datanglah duduk istirehat yang bekerja mengembalikan darah dari kepala kembali ke jantung. Ini dibantu oleh gerakan cepat ke atas seperti anak panah ketika bangkit menuju raka'at selanjutnya, di mana darah terdorong ke bawah ketika bangkit di bawah tekanan graviti bumi. Bagi seseorang yang menderita tekanan darah tinggi, bergerak cepat ke atas ketika bangkit menuju raka'at selanjutnya berguna mengurangi tekanan darah pada otak. Dan berkurangnya kuantiti darah ketika bangkit menyebabkan berkurangnya ketajaman sakit kepala yang diakibatkan oleh meningkatnya tekanan darah pada kepala (Jalal Muhammad al-Syafi’i, 2008).


 Solat fardhu adalah merupakan kewajiban yang perlu dilakukan oleh setiap umat Islam lima kali sehari pada waktu yang berbeza yang telah ditetapkan oleh Allah Taala dan membantu keupayaan tubuh terutamanya sistem darah dan jantung. Solat juga merupakan terapi psikologi yang membantu jiwa menjadi lebih tenang dan menghilangkan tekanan perasaan yang disebabkan oleh pelbagai masalah dalam kehidupan; yang paling signifikan adalah manusia merasakan semua masalahnya sangat kecil di hadapan Pencipta yang Maha Agung. Solat juga menghilangkan semua sumber tekanan  atau stres pada diri manusia apabila berlakunya perubahan pergerakan dalam solat secara konstan. Ini dikenali sebagai perubahan yang membawa kepada kerehatan fisiologi yang sangat penting. Kajian yang dilakukan oleh Nor Azah Abdul Aziz  et al., (2008), terhadap 50 orang pelajar tahfiz juga, menunjukkan tekanan darah berkurangan selepas melakukan solat fardhu berbanding dengan kadar tekanan darah sebelum melakukan ibadah solat fardhu. Kadar tekanan darah adalah pada tahap yang normal dan melambangkan keadaan yang tenang tanpa stres selepas menunaikan solat fardhu. Fakta ini adalah bertepatan dengan sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang memerintahkan umatnya bersolat ketika menghadapi kemarahan dan telah terbukti bahawa solat memberikan kesan yang pantas terhadap sistem saraf dengan memberi ketenangan dan keseimbangan. Solat juga turut menjadi penawar kepada insomnia atau penyakit sukar tidur yang disebabkan oleh kegagalan sistem saraf (Nor Azah Abdul Aziz et al., 2008). Artikel penuh boleh dicapai di :
http://www.ukm.my/jiae/pdf/31.pdf




x

Thursday 23 October 2014

Mendidik anak-anak

Assalamualaikum wbt

Salam Jumaat yang dimuliakan Allah ... selamat mengharungi tahun baru 1436 hijrah ...

moga Allah melimpahi kita semua dengan rahmat dan kasih sayangNya .. walau dosa dan kelemahan tidak terhitung ...

melihat anak-anak yang didera ... hati saya luka parah ... walaupun saya bukanlah ibu yang sempurna....saya percaya semua ibu yang melahirkan .. membesarkan .. anak sendiri mahupun anak orang lain ...mempunyai perasaan begini ... kerana ianya adalah anugerah Allah ... kasih yang Allah tumpahkan pada hati setiap ibu ... hatta ibu kudapun akan mengangkat kakinya apabila anaknya disusukan...

saya percaya dan yakin dengan kaedah didikan Rasulullah saw... sehingga baginda sendiri menyatakan tidak akan mengangkat seseorang menjadi pemimpin jika Allah telah menarik rasa kasih sayang dalam dadanya .. dan tidak akan disayangi orang yang tidak mempunyai rasa kasih sayang...

sebagaimana kasihnya Nabi saw kepada kanak-kanak ... itulah yang sewajarnya kita praktiskan ...

dalam Islam .. mendidik anak-anak adalah mengikut tahap perkembangan anak-anak tersebut ... sewaktu awal lahir hingga ke 6 tahun adalah proses memanjakan ... apabila meningkat umurnya 7-12  perlu diberikan sedikit tanggungjawab dan hukum hakam serta diajar mengerjakan solat  dengan berdisiplin .. dan diberikan ilmu2 lain yang bermanfaat... diberikan pujian dan dihargai jika berjaya melakukan tanggungjawabnya dengan baik...jika nakal dan degil boleh dihukum tetapi bukan didera atau dipukul/dirotan sekuat tenaga ... hanya pukulan lembut sebagai amaran (gunakan kertas keras, kain yang digumpal atau rotan kecil yang tidak menyakitkan) ... kerana kasih sayang ibu bapa tidak dapat dibeli di mana-mana .. jika dihukum seperti pesalah dipenjara pasti anak-anak merasakan ibu bapa mengikut nafsu ....ini boleh menyebabkan kasih sayang  dan kepercayaan boleh luntur bila-bila masa..

apabila meningkat remaja .. dijadikan sahabat... diambil tahu setiap perlakuan, persekolahan, siapa rakan-rakanya... dan lain-lain... dalam semua aspek kehidupannya ... penghargaan .. dari segi ilmu pengetahuan yang dimiliki oleh anak-anak perlu diberikan pujian ... perlu diberi kepercayaan dan dinasihatkan jika didapati agak longgar pegangan dan prinsip hidupnya menurut kacamata Islam... jadikan Rasulullah saw yang baik dan penyayang sebagai "role model" ... al-Qur'an menjadi santapan harian... ciuman, pelukan ... doakan ketika anak tidur atau jaga... ketika anak tahu atau tidak tahu kita sentiasa mendoakannnya ...

mohonlah pada Allah agar anak menjadi cemerlang di dunia dan di akhirat... bacakan selalu al fatihah, 3 kul dan al insyirah dan sedekahkan pada anak-anak pada setiap pagi dan  malam ... kemudian berserahlah pada Allah agar kita semua menjadi insan terpilih di sisiNya bersama anak-anak cucu keturunan yang berbondong-bondong memasuki syurgaNya... amiin

terima kasih mak... moga Allah melimpahkan kasihNya padamu di alam sana .. untuk mak yang penyayang dan menyayangi kanak-kanak... amiin


Wednesday 1 October 2014

Zikir dan Doa

Assalamualaikum wbt,

Zikir dan Doa




Wahai orang-orang yang beriman, berzikirlah kepada Allah dengan zikir yang sebanyak-banyaknya. Surah al-Ahzāb (33):41

…iaitu orang-orang yang zikir kepada Allah  sambil berdiri atau duduk  atau dalam keadaan berbaring
                                Surah Āli-‘Imrān (3):191

Diriwayatkan dari Abū Mūsa r.a.: Nabi s.a.w. pernah bersabda, “Perumpamaan orang yang mengingat Allah dan orang tidak mengingat Allah adalah seperti orang hidup dengan orang mati”.

Dan Tuhanmu berfirman berdoalah kepadaKu, nescaya akan Ku perkenankan bagimu.      
                               Surah Ghāfir (40): 60

Berdoalah kepada Tuhanmu dengan berendah diri dan dalam kerahsiaan.
                               Surah al- A’rāf (7): 55

Diriwayatkan dari Abū Mūsā  Al-‘Ash‘arī r.a.: Rasulullah s.a.w berdoa dengan kalimat berikut: “Ya Allah! Ampuni kesalahanku, ketidaktahuanku, dosa-dosaku yang melampaui batas dan ampunilah yang lebih Kau ketahui daripada yang ku ketahui. Ya Allah ampunilah kesalahanku kerana bersenda gurau atau kerana keseriusanku  dan ampunilah dosa-dosa yang kulakukan kerana kesengajaan atau ketidaksengajaan, yang semuanya ada pada diriku.

Wednesday 10 September 2014

Berkorban demi pendidikan anak-anak

Assalamualaikum wbt

Saya melihat mak ... yang tidak sekolah tinggi ... berusaha dan berkorban untuk saya...

Saya melihat usahanya bukan calang-calang... dia bangun awal sekitar 3 pagi untuk memasak kuih-muih ... dan nasi lemak untuk menyekolahkan saya... ketika itu saya masih di sekolah tadika...

Mak ... berusaha dengan tulang empat keratnya... masih segar dalam ingatan ... mak mengheret bekas nasi lemaknya yang berat sejauh setengah kilometer bersama-sama memegang tangan saya untuk jualan di tepi kem askar...

dan... masih segar dalam ingatan ini ... melihat mak terjelepok sedih sambil mengucapkan "Allah hu akbar"... bila gerai kecilnya di angkat majlis bandaran ... terima kasih pada abang askar yang memberitahu mak yang gerai telah diangkut oleh majlis bandaran... kalau tidak mak tak tahu mana pergi gerainya...

mak yang tidak sekolah tinggi itu telah turun naik bangunan majlis bandaran hanya untuk mendapatkan semula gerainya.. dendanya pula mahal.. mak takde pengetahuan ketika itu cara-cara untuk mendapatkan lesen dan berurusan dengan pejabat kerajaan.. mak miskin ... mak tiada pengetahuan tinggi...

tapi di sebalik semua itu ... mak cekal dan tabah... walau terpaksa melepaskan gerainya... mak jual juga kuih muih atas meja ... dekat rumah.. petang-petang mak pergi kerja cuci pejabat (cleaner) ... saya balik sekolah tadika .. kadang-kadang mak bawa saya ke bangunan bank tempat mak  kerja mencuci pejabat dan kadang-kadang mak tinggalkan saya di rumah dengan mengunci semua pintu dan tingkap.. dan berpesan agar jangan keluar dan membuka pintu kepada sesiapapun..

saya rehat-rehat sahaja dan suka duduk seorang diri dalam bilik .. membaca buku cerita ...buat kerja sekolah tadika dan berangan-angan ... bila saya naik darjah satu mak tinggalkan saya di kampung dan tinggalkan saya dengan wan (nenek) ... hinggalah darjah tiga ... dan mak bawa wan, saya dan pakuda tinggal di kuala lumpur .. di rumahnya yang serba kekurangan, panas, air perlu di timba dari perigi .. bilik air yang digali sendiri dan cukup jauh bezanya keadaan ketika itu.. dengan sekarang ...

walaupun saya belum berapa mengerti tentang kesusahan mak ketika itu.. mak selalu menyatakan "rezeki dia ni .. murah" bila dia bercerita dengan jiran tetangga .. sebab .. setiap kali nak belajar nak bayar yuran... nak beli pakaian dan lain-lain ... selalunya memang ada rezeki yang Allah turunkan dan ianya menjadi mudah untuk mak menyekolahkan saya.. duit perolehan mak dari hasil kerjanya yang sedikit ditambah dengan jualan nasi lemak dan kuih muih Alhamdulillah mencukupi untuk menyekolahkan saya...

memang mak bertekad ... dulu ketika saya masih kecil .. mak pernah menjadi orang gaji di rumah seorang pensyarah universiti.. di situ mak berdoa agar adik-adik dan anak-anaknya ada yang menjadi pensyarah... sungguh doa mak termakbul .. saya dan pakcik saya menjadi lambang makbulnya doa mak yang tabah...

kerja-kerja mak tidak terhenti setakat menjadi cleaner dan meniaga nasi lemak dan kuih .. selepas maghrib mak akan mengajar mengaji tanpa bayaran... mak adalah guru qur'an pertama saya.. kecil2 lagi saya sudah terbiasa dengan kanak-kanak yang kecil dan besar datang mengaji di rumah setinggan mak... walaupun mak miskin ... tapi rumahnya meriah... ramai jiran yang menghantar anak pada mak untuk mengaji... sehinggakan bila dah ramai sangat .. saya yg masih kecil comel tapi dah pandai mengaji .. kena mengajar ... kanak-kanak lain yang kecil dan besar pada saya .. terasa seronok juga ... maklumlah budak-budak... kadang-kadang saya malas juga...

tapi mak yang sudah penat... nampak begitu bertenaga ... pada pandangan mata saya... mak mempunyai motivasi yang amat tinggi ... mak memang tak reti duduk diam... tapi mak selalu sahaja memberi nasihat dan bergurau dengan saya.. ini seperkara yang saya rasa sangat istimewa pada mak... saya merasakan mak punya jiwa yang ikhlas .. sebab tu tak rasa penat... walau bekerja dari awal pagi hingga ke malam...

dalam kesusahan kehidupan mak.. saya dapat melihat keseimbangan ... antara keperluan dunia dan akhiratnya.. mak kuat bekerja ... tapi mak kuat solat dan mengaji ...

seperkara yang saya tidak dapat lupa... saya kecewa sebab dapat 3a 1b 1c sahaja masa penilaian sekolah rendah... sahabat baik saya  dapat pergi ke sekolah yang lebih baik... saya tinggal bersekolah biasa... tapi segala yang berlaku mempunyai hikmah yang besar dari Allah untuk saya... saya bertekad untuk membalas jasa dan pengorbanan mak... saya nak berjaya dan belajar bersungguh-sungguh...

saya cukup bersemangat bila bermula tingkatan satu dan cuba sedaya upaya dapat semua A dalam setiap subjek... Alhamdulillah SRP saya ... "best student" ... dan berjaya ke asrama penuh...

saya dapat melihat wajah bangga mak... walaupun saya masih belum berhenti menyusahkan mak ... sebab saya memerlukan duit poket ... saya semakin remaja ketika itu... bila pulang ke rumah ... saya selalu bercerita pada mak ... tentang agama .. tentang menutup aurat ... dan lain-lain... pada ketika itu masyarakat melayu memang masih ramai yang tidak menutup aurat... kalau menutup auratpun bila keluar rumah ... tapi bila berada di rumah.. duduk-duduk di luar rumah konsep menutup aurat masih tidak betul dan tidak menepati syariat... pada mereka ... wajib menutup aurat tu bila pergi berjalan-jalan jauh macam ke shopping complex.. balik kampung dan lain-lain ... konsep menutup aurat kepada yang bukan mahram tu tidak berapa diresapi/difahami walaupun berada di rumah...

masatu mak dah mula buka kedai runcit... susah juga pada mulanya saya nak bertudung sambil membantu mak meniaga... sebab makcik2 jiran tetangga menyatakan saya memakai "dakwah" ... masatu tudung digelar dakwah ... kelakar juga bila teringat semula.. namun saya bernasib baik mereka tidak memerli atau menidakkan pemakaian saya...

saya dibesarkan di kawasan kota .. rumah setinggan ... tempat orang-orang miskin... namun kemiskinan tidak menjadikan saya malu .. kerana saya dibesarkan oleh ibu yang berjiwa besar dan tidak memandang kesusahan sebagai penghalang untuk saya menuntut ilmu...

mak selalu cerita ... dulu mak rajin  ke surau .. sewaktu budak2 dan menjangkau remaja... mak sanggup meredah semak/kebun getah yang gelap dan dipenuhi pokok semata-mata nak dengar ceramah di surau/masjid... dan mak selalu begitu ... sehingga ke usia tuanya... sangat bersemangat mencari dan mendengar tentang ilmu .. walau bukan secara formal... kalau dibandingkan dengan saya ... yang malas... maklumlah dah ada you tube dan tv untuk mendengar ceramah...

pengorbanan mak... kisah suka dukanya terlalu banyak untuk saya nukilkan dan terlalu mahal harganya pada jiwa saya...yang tak mampu saya balas... hanya doa untukmu mak... kesayangan saya ... nenek kesayangan anak-anak saya ... dan moga mak... menjadi kesayangan Allah dan makhlukNya di alam sana... amiin

Wednesday 3 September 2014

PhD ... belajarlah sehingga ke liang lahat

Assalamualaikum wbt...

bila ada sahabat yang bertanya tentang PhD... susah senangnya ... ada rasa terpanggil untuk menceritakannya di blog ini..

memangla PhD itu tak mudah ... tapi ianya adalah sesuatu yang mampu dicapai ... inshaaAllah..

bermula dengan mencari tajuk yang sesuai dan diminati .. serta mampu diusahakan ... dalam jangkamasa 3 ke 4 tahun... berdoalah .. buatlah solat istikharah ... minta pada Allah agar diberikan keyakinan dan dipermudahkan perjuangan dalam menimba ilmuNya...

ilmu adalah cahaya .. penunjuk jalan bagi setiap manusia... ilmu yang paling utama adalah ilmu mengenal Tuhan...agamaNya.. belajarlah... membacalah ... carilah ... jiwailah ... .. dengan izinNya pasti Allah tunjukkan pada sang pencari...yang tidak berputus harap akan rahmat dan pemberianNya...

saya bersyukur dikurniakan Allah seorang penyelia PhD yang cukup baik dan membimbing saya sepanjang perjalanan PhD yang memang sunyi (lonely journey).. moga Allah sentiasa merahmati guru saya di dunia dan di akhirat kelak ... amiin

saya juga bersyukur ketika itu masih punya ibu  yang sentiasa mendoakan saya dan menjadi tempat saya meluahkan rasa senang dan duka lara ... al fatihah untukmu mak yang sangat dirindui... ya Allah tempatkan dia bersama golongan yang Engkau cintai.. amiin

saya juga bersyukur punya suami dan anak-anak yang menjadi penyejuk mata saya dan menjadi pendorong dalam kehidupan dan pembelajaran saya....moga saya, suami dan anak cucu keturunan saya menjadi penghulu golongan yang bertakwa... amiin

PhD saya separuh masa ... kerja pula sepenuh masa... anak-anak masih kecil ketika itu... 

sebenarnya jika ditanya ... saya sendiri tak tahu macam mana saya boleh melalui semua itu... pada ketika itu.. hanya Allahlah yang membantu saya yang lemah ini...

yang saya tahu... saya sangat bersemangat nak belajar .. sebab minat dan suka mencari penyelesaian pada permasalahan PhD saya... setiap orang melalui susah senang yang berbeza-beza... 

bila saya rasa penat saya akan rehat ... adakalanya seminggu ... atau dua minggu ... tapi jika lama sangat ianya akan menjadi masalah kerana saya terpaksa menyemak semula apa yang pernah saya tulis jika ditinggalkan terlalu lama... 

tapi .. seperkara yang saya tak lupa... saya sentiasa berfikir tentang PhD saya... walau di mana saya berada... siang .. malam... tempat kerja... shopping ... duduk relax pun teringat juga... ianya melekat .. dalam fikiran saya dan tak mampu saya buang... 

perkara yang tidak dapat saya nafikan ... ketika PhD saya perlukan kawan yang memberikan nasihat.. kawan untuk saya luahkan masalah dan berkongsi cerita... Alhamdulillah... saya dikurniakan rakan yang solehah ... yang mengajar saya tentang solat tasbih... kepentingannya ... dan mustajabnya doa orang yang bersolat tasbih...

saya juga dikurniakan ibu yang sentiasa bangun solat malam .. dan sentiasa mendoakan saya ... moga anakmu ini dan cucu cicit keturunanmu seteguh dan berdisiplin sepertimu dalam melayani solat malamnya... sesungguhnya mak sangat istimewa... moga Allah menempatkanmu dalam golongan istimewa di sisiNya...

perkara yang saya tidak sangka adalah kesabaran penyelia saya dalam meneliti tulisan saya yang tidak pernah belajar agama dan secara formal (hanya 1 mata pelajaran waktu di sekolah rendah dan menengah sahaja). Saya juga tidak mengambil master dalam bentuk tesis/disertasi... Allah hu akbar... moga sabarmu guru dalam membimbing .. dikurniakan syurga untukmu...

saya juga tidak menyangka tesis saya hampir ke 400 muka surat atau lebih... sedangkan pada peringkat permulaan ianya tidak sedap langsung untuk dibaca ... 

Allahlah mendidik saya menjadi tekun dan cintakan ilmu yang saya pelajari... 
Allahlah yang mendidik jiwa saya yang keras agar lebih menyayangi dan menghargai sesiapa sahaja di sekeliling saya,,
Allahlah yang menepis setiap fitnah dan kejahatan yang dilemparkan kepada saya...
Allahlah yang mendidik jiwa saya yang mudah terluka dengan satu lapisan ... sebagai benteng pertahanan diri saya... 

sesungguhnya ... Allahlah yang menjadikan setiap kesusahan .. masalah masa... kewangan ... pekerjaan dan semuanya itu menjadi cabaran yang mampu di atasi .. dan ianya bertukar menjadi sesuatu yang positif untuk diri dan keluarga saya... 

Alhamdulillah... syukur dan segala puji bagi Allah ... 


Saya titipkan gambar kenangan bersama arwah mak, suami, anak bongsu, paklang, maklang, ani & qamarul... terima kasih ani menjadi photographer hari manis itu... pesta konvokesyen 2009 universiti malaya






Canselor ..Sultan Azlan Shah, Raja Nazrin... Naib Canselor ..Ghauth Jasmon











Thursday 24 July 2014

Gaza dihatiku

Assalamualaikum wbt ..

hari ini 27 Ramadhan 1435 H .. 24 Julai 2014...  antara hari...hari Gaza mengebumikan para syuhada ... anak-anak kecil... ibu mereka... bapa mereka.. datuk dan nenek .. abang.. kakak.. dan adik...

hari ini juga setiap doa saya diiringi tangisan bermati-matian melihat Gaza... seolah saya mati bersama... bersama mereka yang dimuliakan Allah...

sungguh saya tiada kekuatan itu... saya tiada kesanggupan melepaskan anak-anak pergi dahulu dari saya... saya juga tiada kekuatan melihat anak-anak saya bersedih jika saya pergi dahulu... Allah mengetahui kelemahan saya... saya pohon pada Allah agar mati bersama-sama keluarga yang saya sayangi ... agar tiada ratapan tersisa .. agar tiada bebanan menuju ke syurga dan tiada bebanan menagih redha yang maha Esa...

melihat ibu dan bapa Gaza yang tabah... ya Allah.. kematian di sana sini... syuhada .. yang ruhnya dalam burung hijau di syurga yang berterbangan sekehendak hatinya...

saya .. mengharap menjadi syuhada... walaupun banyak kelemahan dan dosa tidak terpikul... walau hanya sekelumit doa dan infa untuk Gaza ya Allah ...

dunia ini hanya perlu Allah dan tenteraNya... gembira bukan masanya... lawak jenaka hanya membinasa jiwa...

terasa perjuangan mereka perjuangan saya... walau hanya dengan pena, doa dan air mata...

ya Allah bangunkanlah setiap jiwa... berilah keyakinan bahawa kemenangan semakin dekat... berilah kami kekhusyukan solat dan pemahaman serta kecintaan pada alqur'an ... berilah kami kekuatan solat malam... berilah kami kekuatan zikrullah dan kekuatan beramal pada akhir ramadhan...

ya Allah ... sesungguhnya jiwa kami lemah... kami pohon kekuatan, keampunan, rahmat dan kasih sayangMu

ya Allah ... sesungguhNya ... Engkau maha pengampun dan suka mengampunkan... maka ampunilah kami... rahmatilah kami dalam kasih dan cintaMu... terimalah doa kami untuk saudara kami di Gaza.. di Syria dan di mana sahaja.. pandulah kami jika kami tersalah... tunjukki kami jalan yang lurus ... jalan orang yang Engkau kasihi dan bukan jalan orang yang Engkau murkai...

ya Allah ... kurniakan kami kemanisan syurgaMu ... dalam cinta dan redhaMu ... amiin ya Allah ... amiin ya Rahman ... amiin ya Rahim...