Saturday, 22 December 2012

Persediaan Hati/Diri sebelum menunaikan umrah

Dikutip dari : http://www.jawhar.gov.my/i-umrah/index.php/persediaan-para-jemaah/48-persiapan-diri


Memperbetul tujuan semata-mata kerana Allah S.W.T.
 
Sesuatu pekerjaan itu hanya menjadi ibadah dan mendapat ganjaran pahala dari Allah S.W.T. apabila:

- diniatkan semata-mata untuk mematuhi perintah Allah S.W.T.;
- caranya menepati syariat yang ditetapkan;
- tidak berlaku sebarang penyelewengan; dan
- ibadah wajib seperti sembahyang, berpuasa, berzakat dan lain-lain tidak ditinggalkan.
 
Oleh itu, elakkan diri dari mengerjakan haji dan umrah kerana sebab-sebab sosial, ekonomi, politik atau tujuan-tujuan lain.
 
Mendapatkan ilmu yang cukup
 
Setiap ibadah termasuk umrah yang dikerjakan tanpa ilmu adalah sia-sia. Ini kerana kerja-kerja ibadah tidak boleh dibuat secara ikut-ikutan sahaja. Selok belok pelaksanaan ibadah umrah perlu dipelajari dan difahami supaya dapat dikerjakan dengan sempurna sewaktu di Tanah Suci tanpa bergantung kepada orang lain.
 
Menggunakan sumber wang yang halal
 
Ibadah umrah adalah merupakan salah satu persembahan kepada Allah S.W.T. Sama ada diterima atau sebaliknya, ia bergantung kepada sejauh mana sempurnanya ibadat itu dilaksanakan dan sebersih mana pula wang ringgit yang digunakan.
 
Pastikan wang ringgit yang digunakan  untuk menunaikan umrah (tambang menambang, makan minum, penginapan dan lain-lain) malah yang digunakan untuk kehidupan seharian adalah dari sumber yang halal lagi bersih dari sebarang penyelewengan atau penindasan. Mata pencarian yang haram, selain dari berdosa, boleh menyebabkan  hilangnya keberkatan dalam kehidupan.
 
Menjaga kesihatan jasmani dan rohani
 
Pelaksanaan ibadah umrah memerlukan kesihatan fizikal dan mental serta kestabilan emosi. Bakal jemaah hendaklah menjaga kesihatan menerusi pemakanan yang baik dan seimbang serta memperbanyak aktiviti riadah. Selain itu, jemaah hendaklah melatih diri supaya bersikap positif dan bijak mengawal perasaan.
 
Menyempurnakan semua rukun Islam yang lain
 
Ibadah haji adalah rukun yang kelima dan terakhir selepas mengucap dua kalimah syahadah mengerjakan sembahyang lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan dan mengeluarkan zakat.
 
Bakal-bakal jemaah umrah perlu terlebih dahulu mempunyai kefahaman yang sempurna bersabit tuntutan Syahadah, sembahyang, puasa dan zakat serta melaksanakannya.
 
Memperbanyakkan amalan sedekah
 
 
Sesuatu yang boleh meringankan bebanan orang lain (termasuk suami, isteri, ibubapa, saudara mara, sahabat handai, faqir miskin, anak yatim dan sebagainya) sama ada dalam bentuk wang ringgit, tenaga hatta senyuman atau perwatakan ceria adalah sedekah. Amalan sedekah membantu menambah pahala, mengurangkan dosa dan membantu hubungan sesama manusia.
 
Bakal jemaah digalakkan memperbanyakkan sedekah sewaktu di Tanah Air dan juga di Tanah Suci nanti. Ia membahagiakan pihak yang menerima dan turut membahagiakan pihak yang memberi. Sewaktu berada di Tanah Suci pula, para jemaah hendaklah menggunakan sebaik-baiknya kesempatan untuk memberi khidmat kepada mereka yang memerlukan.
 
Menunaikan sembahyang berjemaah
 
Matlamat menunaikan ibadah umrah ke Tanah Suci Makkah antara lain ialah untuk memanfaatkan masa yang ada sebaik mungkin untuk beribadah terutamanya di Masjidil Haram. Peluang berada di Tanah Suci Makkah hendaklah digunakan sebaiknya untuk beribadah sebaik mungkin seperti menunaikan solat berjemaah.
 
Menjauhi amalan-amalan syirik
 
Menyengutukan Allah adalah merupakan salah satu dosa besar. Tidak selayaknya orang yang hendak menjadi tetamu Allah membuat kerja-kerja syirik seperti beramal dengan ilmu sihir, bergantung hidup kepada tangkal azimat dan sebagainya.
 
Selain itu, bakal-bakal jemaah hendaklah menghindari sifat suka mengejar kebendaan dan kesenangan hidup sehingga meremehkan soal halal dan haram, dosa dan pahala serta syurga dan neraka.
 
Memperbaiki akhlak dan menghindari sifat-sifat mazmumah (tercela)
 
Tanah Suci Makkah adalah tempat orang memperlihatkan peribadinya yang sebenar. Orang yang hendak menjadi tetamu Allah S.W.T. hendaklah mempunyai adab yang baik sama ada dari segi perbuatan, percakapan malah niat di hati.
 
Sifat-sifat buruk seperti hasad dengki, sombong, takabbur, panas baran, suka mendedahkan aurat, suka bermegah-megah dan lain-lain hendaklah dijauhi. Menurut maksud hadith, hasad dengki menghapuskan amal kebaikan seseorang sepertimana api membakar hangus kayu api.
 
Tanah Suci Makkah juga adalah tempat pertembungan umat Islam dari segenap pelusuk dunia. Sifat-sifat murni seperti sabar, ikhlas, syukur, tolong-menolong, ramah dan sebagainya akan dapat memudahkan interaksi sesama jemaah.
 
Membersihkan diri dari dosa
 
Sebelum berangkat ke Tanah suci bakal jemaah hendaklah bertaubat dengan:
 
- meninggalkan serta merta perbuatan yang telah menimbulkan dosa;
- berazam dengan sepenuh hati tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi;
- merasa kesal yang amat sangat di atas perbuatan dosa itu; dan
- jika dosa itu ada kaitan dengan manusia, perlu mendapatkan kemaafan dan pernyataan halal bagi kesalahan yang dilakukan dan hak yang  diambil dari manusia tersebut.
 
Berdoa dan bertawakkal
 
Perancangan Allah S.W.T. mengatasi segala perancangan makhluk-Nya. Segala persiapan yang telah dibuat tidak dapat menjamin ibadah umrah dapat dilakukan dengan sempurna. Justeru, para jemaah perlu banyak berdoa kepada Allah S.W.T., memohon keampunan dan pertolongan-Nya.
 
Para jemaah juga sebaiknya memperbanyakkan sembahyang sunat Tahajjud, Tasbih, Taubat dan Hajat menjelang keberangkatan dan juga sepanjang berada di Tanah Suci.

No comments:

Post a Comment