Monday, 15 October 2012

Solat dari sudut sains

Solat

Solat fardhu adalah merupakan kewajiban yang perlu dilakukan oleh setiap umat Islam lima kali sehari pada waktu yang berbeza yang telah ditetapkan oleh Allah Taala dan membantu keupayaan tubuh terutamanya sistem darah dan jantung. Solat juga merupakan terapi psikologi yang membantu jiwa menjadi lebih tenang dan menghilangkan tekanan perasaan yang disebabkan oleh pelbagai masalah dalam kehidupan; yang paling signifikan adalah manusia merasakan semua masalahnya sangat kecil di hadapan Pencipta yang Maha Agung. Solat juga menghilangkan semua sumber tekanan pada diri manusia apabila berlakunya perubahan pergerakan dalam solat secara konstan. Ini dikenali sebagai perubahan yang membawa kepada kerehatan fisiologi yang sangat penting. Fakta Ini adalah bertepatan dengan sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang memerintahkan umatnya bersolat ketika menghadapi kemarahan dan telah terbukti bahawa solat memberikan kesan yang pantas terhadap sistem saraf dengan memberi ketenangan dan keseimbangan. Solat juga turut menjadi penawar kepada insomnia atau penyakit sukar tidur yang disebabkan oleh kegagalan sistem saraf (Nor Azah Abdul Aziz et. al, 2008).

Solat adalah inti ibadah di dunia. Ia merupakan bukti nyata keimanan dan keIslaman seseorang di alam realiti. Solat merupakan elemen terpenting dalam syariat Islam (Misbah Em Majidy, 2009). Allah Taala memerintahkan agar solat dilakukan secara berjemaah dan memohon pertolongan kepadaNya dengan cara mengerjakan solat seperti berikut:
                                                                                                                                   
Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.
                                                                                                       Surah Al- Baqarah (2):43

Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk;
Surah Al- Baqarah (2):45

Setiap suruhan dan larangan Allah Taala mengandungi hikmah sebagai contohnya posisi solat yang diriwayatkan dari 'Abdullah bin 'Umar (Zaki Al-Din ‘Abd Al-Azhim Al-Mundziri, 2004):

"Rasulullah SAW mengangkat kedua tangannya ke atas hingga sejajar dengan bahunya ketika memulai solat (takbiratul-ihram); ketika mengucapkan takbir untuk rukuk, dan ketika bangkit dari rukuknya ia melakukan hal yang sama lalu mengucapkan sami Allâhu liman hamidah, Rabbanâ walakal hamd. Dan Nabi SAW. tidak melakukan hal itu (mengangkat kedua tangannya yang mulia) ketika sujud. [l:702-S.A.]

Kajian yang dilakukan oleh  Nor Azah Abdul Aziz et. al, 2008 terhadap tekanan  darah dan      kadar denyutan jantung menunjukkan bahawa solat fardhu berjemaah menjadikan ianya lebih baik dalam ertikata lain solat menjadikan pengamalnya lebih tenang walaupun sebelum solat pelbagai aktiviti dilakukan seperti berjalan, berlari dan lain-lain.

No comments:

Post a Comment