Jiwa manusia menurut al-Ghazālī tidak terlepas dari dua kecenderungan (daya) iaitu kecenderungan syahwat dan amarah. Jika kecenderungan ini berlebihan dalam memenuhi fungsinya dan akal tidak mampu mengendalikannya maka akan tumbuhlah sifat kerakusan dan kebuasan. Perilaku menyimpang berpunca dari dua kecenderungan ini kerana lemahnya akal dan lalainya jiwa manusia terhadap Tuhannya. Sebaliknya jika kecenderungan ini dikendalikan dengan wajar menurut batas akal dan agama akan muncul perilaku sihat (al-sihhah) seperti mampu mengurus diri (al-‘iffah), merasa puas (al-qanā ‘ah), tenang (al-hadu’), zuhud, wara‘, takwa, lapang dada, bersikap baik, punya malu, ramah dan suka membantu (Al-Ghazālī (1982) dan Moh. Sholeh Imam Musbikin (2005)).
Jiwa manusia dalam keadaan stres tidak boleh lari dari mengingati Tuhan atau berzikir untuk mendapat ketenangan hati seperti firman Allah Taala:"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia
Surah al-Ra'd (13):28
Stres yang sering melanda manusia dapat diubati dengan solat, ini kerana solat mengandungi zikir, dan zikir sekiranya dilakukan dengan khusyuk mampu mendamaikan hati (Danial Zainal Abidin, 2009). Rasulullah s.a.w. dalam sabdanya: "Seorang hamba paling dekat dengan Tuhannya ketika dia sedang bersujud ". Waktu sujud yang lama, berguna untuk menambah bekalan darah untuk kepala. Kemudian datanglah duduk istirehat yang bekerja mengembalikan darah dari kepala kembali ke jantung. Ini dibantu oleh gerakan cepat ke atas seperti anak panah ketika bangkit menuju raka'at selanjutnya, di mana darah terdorong ke bawah ketika bangkit di bawah tekanan graviti bumi. Bagi seseorang yang menderita tekanan darah tinggi, bergerak cepat ke atas ketika bangkit menuju raka'at selanjutnya berguna mengurangi tekanan darah pada otak. Dan berkurangnya kuantiti darah ketika bangkit menyebabkan berkurangnya ketajaman sakit kepala yang diakibatkan oleh meningkatnya tekanan darah pada kepala (Jalal Muhammad al-Syafi’i, 2008).
Solat fardhu adalah merupakan kewajiban yang perlu dilakukan oleh setiap umat Islam lima kali sehari pada waktu yang berbeza yang telah ditetapkan oleh Allah Taala dan membantu keupayaan tubuh terutamanya sistem darah dan jantung. Solat juga merupakan terapi psikologi yang membantu jiwa menjadi lebih tenang dan menghilangkan tekanan perasaan yang disebabkan oleh pelbagai masalah dalam kehidupan; yang paling signifikan adalah manusia merasakan semua masalahnya sangat kecil di hadapan Pencipta yang Maha Agung. Solat juga menghilangkan semua sumber tekanan atau stres pada diri manusia apabila berlakunya perubahan pergerakan dalam solat secara konstan. Ini dikenali sebagai perubahan yang membawa kepada kerehatan fisiologi yang sangat penting. Kajian yang dilakukan oleh Nor Azah Abdul Aziz et al., (2008), terhadap 50 orang pelajar tahfiz juga, menunjukkan tekanan darah berkurangan selepas melakukan solat fardhu berbanding dengan kadar tekanan darah sebelum melakukan ibadah solat fardhu. Kadar tekanan darah adalah pada tahap yang normal dan melambangkan keadaan yang tenang tanpa stres selepas menunaikan solat fardhu. Fakta ini adalah bertepatan dengan sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang memerintahkan umatnya bersolat ketika menghadapi kemarahan dan telah terbukti bahawa solat memberikan kesan yang pantas terhadap sistem saraf dengan memberi ketenangan dan keseimbangan. Solat juga turut menjadi penawar kepada insomnia atau penyakit sukar tidur yang disebabkan oleh kegagalan sistem saraf (Nor Azah Abdul Aziz et al., 2008). Artikel penuh boleh dicapai di :
http://www.ukm.my/jiae/pdf/31.pdf
x