Wednesday, 29 October 2014

Menangani stres dengan solat


Dari perspektif Islam, stres adalah merupakan masalah jiwa yang perlu ditangani. Al-nafs adalah jiwa yang membezakan hakikat manusia dengan makhluk Allah yang lain. Jiwa dan perbuatan lahiriah yang baik memerlukan agama. Di antara perbuatan lahiriah yang baik menurut al-Ghazālī ialah mampu memilih perbuatan yang benar dengan yang salah serta mampu mengendalikan nafsu dengan hikmah, akal dan agama (Al-Ghazālī, 1982). Agama mengajar manusia kaedah-kaedah yang sudah ditentukan Allah yang bersesuaian dengan fitrah manusia. Ajaran ini disampaikan melalui Rasul dan Nabi untuk membolehkan manusia mengetahui kaedah mendekati Allah, hubungan dengan manusia, binatang dan alam keseluruhannya (Moh. Sholeh Imam Musbikin, 2005).  Tanpa agama jiwa manusia tidak mungkin mendapat ketenangan dan kebahagiaan dalam hidup. Kekosongan jiwa manusia boleh diisi dengan mendekatkan diri pada agama dan Allah Taala begitu juga dalam menangani masalah jiwa seperti stres. Manusia dibekalkan oleh Allah dengan fitrah beragama ketika dilahirkan ke dunia seperti firman Allah Taala (Fahrur Muis, 2009):                     

Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah), (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.     
           Surah al-Rūm - (30):30

Jiwa manusia menurut al-Ghazālī tidak terlepas dari dua kecenderungan (daya) iaitu kecenderungan syahwat dan amarah. Jika kecenderungan ini berlebihan dalam memenuhi fungsinya dan akal tidak mampu mengendalikannya maka akan tumbuhlah sifat kerakusan dan kebuasan. Perilaku menyimpang berpunca dari dua kecenderungan ini kerana lemahnya akal dan lalainya jiwa manusia terhadap Tuhannya. Sebaliknya jika kecenderungan ini dikendalikan dengan wajar menurut batas akal dan agama akan muncul perilaku sihat (al-sihhah) seperti mampu mengurus diri (al-‘iffah), merasa puas (al-qanā ‘ah), tenang (al-hadu’), zuhud, wara‘, takwa, lapang dada, bersikap baik, punya malu, ramah dan suka membantu (Al-Ghazālī (1982) dan Moh. Sholeh Imam Musbikin (2005)).
Jiwa manusia dalam keadaan stres tidak boleh lari dari mengingati Tuhan atau berzikir untuk mendapat ketenangan hati seperti firman Allah Taala:"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia 
Surah al-Ra'd (13):28

Stres yang sering melanda manusia dapat diubati dengan solat, ini kerana solat mengandungi zikir, dan zikir sekiranya dilakukan dengan khusyuk mampu mendamaikan hati (Danial Zainal Abidin, 2009). Rasulullah s.a.w. dalam sabdanya: "Seorang hamba paling dekat dengan Tuhannya ketika dia sedang bersujud ". Waktu sujud yang lama, berguna untuk menambah bekalan darah untuk kepala. Kemudian datanglah duduk istirehat yang bekerja mengembalikan darah dari kepala kembali ke jantung. Ini dibantu oleh gerakan cepat ke atas seperti anak panah ketika bangkit menuju raka'at selanjutnya, di mana darah terdorong ke bawah ketika bangkit di bawah tekanan graviti bumi. Bagi seseorang yang menderita tekanan darah tinggi, bergerak cepat ke atas ketika bangkit menuju raka'at selanjutnya berguna mengurangi tekanan darah pada otak. Dan berkurangnya kuantiti darah ketika bangkit menyebabkan berkurangnya ketajaman sakit kepala yang diakibatkan oleh meningkatnya tekanan darah pada kepala (Jalal Muhammad al-Syafi’i, 2008).


 Solat fardhu adalah merupakan kewajiban yang perlu dilakukan oleh setiap umat Islam lima kali sehari pada waktu yang berbeza yang telah ditetapkan oleh Allah Taala dan membantu keupayaan tubuh terutamanya sistem darah dan jantung. Solat juga merupakan terapi psikologi yang membantu jiwa menjadi lebih tenang dan menghilangkan tekanan perasaan yang disebabkan oleh pelbagai masalah dalam kehidupan; yang paling signifikan adalah manusia merasakan semua masalahnya sangat kecil di hadapan Pencipta yang Maha Agung. Solat juga menghilangkan semua sumber tekanan  atau stres pada diri manusia apabila berlakunya perubahan pergerakan dalam solat secara konstan. Ini dikenali sebagai perubahan yang membawa kepada kerehatan fisiologi yang sangat penting. Kajian yang dilakukan oleh Nor Azah Abdul Aziz  et al., (2008), terhadap 50 orang pelajar tahfiz juga, menunjukkan tekanan darah berkurangan selepas melakukan solat fardhu berbanding dengan kadar tekanan darah sebelum melakukan ibadah solat fardhu. Kadar tekanan darah adalah pada tahap yang normal dan melambangkan keadaan yang tenang tanpa stres selepas menunaikan solat fardhu. Fakta ini adalah bertepatan dengan sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang memerintahkan umatnya bersolat ketika menghadapi kemarahan dan telah terbukti bahawa solat memberikan kesan yang pantas terhadap sistem saraf dengan memberi ketenangan dan keseimbangan. Solat juga turut menjadi penawar kepada insomnia atau penyakit sukar tidur yang disebabkan oleh kegagalan sistem saraf (Nor Azah Abdul Aziz et al., 2008). Artikel penuh boleh dicapai di :
http://www.ukm.my/jiae/pdf/31.pdf




x

Thursday, 23 October 2014

Mendidik anak-anak

Assalamualaikum wbt

Salam Jumaat yang dimuliakan Allah ... selamat mengharungi tahun baru 1436 hijrah ...

moga Allah melimpahi kita semua dengan rahmat dan kasih sayangNya .. walau dosa dan kelemahan tidak terhitung ...

melihat anak-anak yang didera ... hati saya luka parah ... walaupun saya bukanlah ibu yang sempurna....saya percaya semua ibu yang melahirkan .. membesarkan .. anak sendiri mahupun anak orang lain ...mempunyai perasaan begini ... kerana ianya adalah anugerah Allah ... kasih yang Allah tumpahkan pada hati setiap ibu ... hatta ibu kudapun akan mengangkat kakinya apabila anaknya disusukan...

saya percaya dan yakin dengan kaedah didikan Rasulullah saw... sehingga baginda sendiri menyatakan tidak akan mengangkat seseorang menjadi pemimpin jika Allah telah menarik rasa kasih sayang dalam dadanya .. dan tidak akan disayangi orang yang tidak mempunyai rasa kasih sayang...

sebagaimana kasihnya Nabi saw kepada kanak-kanak ... itulah yang sewajarnya kita praktiskan ...

dalam Islam .. mendidik anak-anak adalah mengikut tahap perkembangan anak-anak tersebut ... sewaktu awal lahir hingga ke 6 tahun adalah proses memanjakan ... apabila meningkat umurnya 7-12  perlu diberikan sedikit tanggungjawab dan hukum hakam serta diajar mengerjakan solat  dengan berdisiplin .. dan diberikan ilmu2 lain yang bermanfaat... diberikan pujian dan dihargai jika berjaya melakukan tanggungjawabnya dengan baik...jika nakal dan degil boleh dihukum tetapi bukan didera atau dipukul/dirotan sekuat tenaga ... hanya pukulan lembut sebagai amaran (gunakan kertas keras, kain yang digumpal atau rotan kecil yang tidak menyakitkan) ... kerana kasih sayang ibu bapa tidak dapat dibeli di mana-mana .. jika dihukum seperti pesalah dipenjara pasti anak-anak merasakan ibu bapa mengikut nafsu ....ini boleh menyebabkan kasih sayang  dan kepercayaan boleh luntur bila-bila masa..

apabila meningkat remaja .. dijadikan sahabat... diambil tahu setiap perlakuan, persekolahan, siapa rakan-rakanya... dan lain-lain... dalam semua aspek kehidupannya ... penghargaan .. dari segi ilmu pengetahuan yang dimiliki oleh anak-anak perlu diberikan pujian ... perlu diberi kepercayaan dan dinasihatkan jika didapati agak longgar pegangan dan prinsip hidupnya menurut kacamata Islam... jadikan Rasulullah saw yang baik dan penyayang sebagai "role model" ... al-Qur'an menjadi santapan harian... ciuman, pelukan ... doakan ketika anak tidur atau jaga... ketika anak tahu atau tidak tahu kita sentiasa mendoakannnya ...

mohonlah pada Allah agar anak menjadi cemerlang di dunia dan di akhirat... bacakan selalu al fatihah, 3 kul dan al insyirah dan sedekahkan pada anak-anak pada setiap pagi dan  malam ... kemudian berserahlah pada Allah agar kita semua menjadi insan terpilih di sisiNya bersama anak-anak cucu keturunan yang berbondong-bondong memasuki syurgaNya... amiin

terima kasih mak... moga Allah melimpahkan kasihNya padamu di alam sana .. untuk mak yang penyayang dan menyayangi kanak-kanak... amiin


Wednesday, 1 October 2014

Zikir dan Doa

Assalamualaikum wbt,

Zikir dan Doa




Wahai orang-orang yang beriman, berzikirlah kepada Allah dengan zikir yang sebanyak-banyaknya. Surah al-Ahzāb (33):41

…iaitu orang-orang yang zikir kepada Allah  sambil berdiri atau duduk  atau dalam keadaan berbaring
                                Surah Āli-‘Imrān (3):191

Diriwayatkan dari Abū Mūsa r.a.: Nabi s.a.w. pernah bersabda, “Perumpamaan orang yang mengingat Allah dan orang tidak mengingat Allah adalah seperti orang hidup dengan orang mati”.

Dan Tuhanmu berfirman berdoalah kepadaKu, nescaya akan Ku perkenankan bagimu.      
                               Surah Ghāfir (40): 60

Berdoalah kepada Tuhanmu dengan berendah diri dan dalam kerahsiaan.
                               Surah al- A’rāf (7): 55

Diriwayatkan dari Abū Mūsā  Al-‘Ash‘arī r.a.: Rasulullah s.a.w berdoa dengan kalimat berikut: “Ya Allah! Ampuni kesalahanku, ketidaktahuanku, dosa-dosaku yang melampaui batas dan ampunilah yang lebih Kau ketahui daripada yang ku ketahui. Ya Allah ampunilah kesalahanku kerana bersenda gurau atau kerana keseriusanku  dan ampunilah dosa-dosa yang kulakukan kerana kesengajaan atau ketidaksengajaan, yang semuanya ada pada diriku.

Wednesday, 10 September 2014

Berkorban demi pendidikan anak-anak

Assalamualaikum wbt

Saya melihat mak ... yang tidak sekolah tinggi ... berusaha dan berkorban untuk saya...

Saya melihat usahanya bukan calang-calang... dia bangun awal sekitar 3 pagi untuk memasak kuih-muih ... dan nasi lemak untuk menyekolahkan saya... ketika itu saya masih di sekolah tadika...

Mak ... berusaha dengan tulang empat keratnya... masih segar dalam ingatan ... mak mengheret bekas nasi lemaknya yang berat sejauh setengah kilometer bersama-sama memegang tangan saya untuk jualan di tepi kem askar...

dan... masih segar dalam ingatan ini ... melihat mak terjelepok sedih sambil mengucapkan "Allah hu akbar"... bila gerai kecilnya di angkat majlis bandaran ... terima kasih pada abang askar yang memberitahu mak yang gerai telah diangkut oleh majlis bandaran... kalau tidak mak tak tahu mana pergi gerainya...

mak yang tidak sekolah tinggi itu telah turun naik bangunan majlis bandaran hanya untuk mendapatkan semula gerainya.. dendanya pula mahal.. mak takde pengetahuan ketika itu cara-cara untuk mendapatkan lesen dan berurusan dengan pejabat kerajaan.. mak miskin ... mak tiada pengetahuan tinggi...

tapi di sebalik semua itu ... mak cekal dan tabah... walau terpaksa melepaskan gerainya... mak jual juga kuih muih atas meja ... dekat rumah.. petang-petang mak pergi kerja cuci pejabat (cleaner) ... saya balik sekolah tadika .. kadang-kadang mak bawa saya ke bangunan bank tempat mak  kerja mencuci pejabat dan kadang-kadang mak tinggalkan saya di rumah dengan mengunci semua pintu dan tingkap.. dan berpesan agar jangan keluar dan membuka pintu kepada sesiapapun..

saya rehat-rehat sahaja dan suka duduk seorang diri dalam bilik .. membaca buku cerita ...buat kerja sekolah tadika dan berangan-angan ... bila saya naik darjah satu mak tinggalkan saya di kampung dan tinggalkan saya dengan wan (nenek) ... hinggalah darjah tiga ... dan mak bawa wan, saya dan pakuda tinggal di kuala lumpur .. di rumahnya yang serba kekurangan, panas, air perlu di timba dari perigi .. bilik air yang digali sendiri dan cukup jauh bezanya keadaan ketika itu.. dengan sekarang ...

walaupun saya belum berapa mengerti tentang kesusahan mak ketika itu.. mak selalu menyatakan "rezeki dia ni .. murah" bila dia bercerita dengan jiran tetangga .. sebab .. setiap kali nak belajar nak bayar yuran... nak beli pakaian dan lain-lain ... selalunya memang ada rezeki yang Allah turunkan dan ianya menjadi mudah untuk mak menyekolahkan saya.. duit perolehan mak dari hasil kerjanya yang sedikit ditambah dengan jualan nasi lemak dan kuih muih Alhamdulillah mencukupi untuk menyekolahkan saya...

memang mak bertekad ... dulu ketika saya masih kecil .. mak pernah menjadi orang gaji di rumah seorang pensyarah universiti.. di situ mak berdoa agar adik-adik dan anak-anaknya ada yang menjadi pensyarah... sungguh doa mak termakbul .. saya dan pakcik saya menjadi lambang makbulnya doa mak yang tabah...

kerja-kerja mak tidak terhenti setakat menjadi cleaner dan meniaga nasi lemak dan kuih .. selepas maghrib mak akan mengajar mengaji tanpa bayaran... mak adalah guru qur'an pertama saya.. kecil2 lagi saya sudah terbiasa dengan kanak-kanak yang kecil dan besar datang mengaji di rumah setinggan mak... walaupun mak miskin ... tapi rumahnya meriah... ramai jiran yang menghantar anak pada mak untuk mengaji... sehinggakan bila dah ramai sangat .. saya yg masih kecil comel tapi dah pandai mengaji .. kena mengajar ... kanak-kanak lain yang kecil dan besar pada saya .. terasa seronok juga ... maklumlah budak-budak... kadang-kadang saya malas juga...

tapi mak yang sudah penat... nampak begitu bertenaga ... pada pandangan mata saya... mak mempunyai motivasi yang amat tinggi ... mak memang tak reti duduk diam... tapi mak selalu sahaja memberi nasihat dan bergurau dengan saya.. ini seperkara yang saya rasa sangat istimewa pada mak... saya merasakan mak punya jiwa yang ikhlas .. sebab tu tak rasa penat... walau bekerja dari awal pagi hingga ke malam...

dalam kesusahan kehidupan mak.. saya dapat melihat keseimbangan ... antara keperluan dunia dan akhiratnya.. mak kuat bekerja ... tapi mak kuat solat dan mengaji ...

seperkara yang saya tidak dapat lupa... saya kecewa sebab dapat 3a 1b 1c sahaja masa penilaian sekolah rendah... sahabat baik saya  dapat pergi ke sekolah yang lebih baik... saya tinggal bersekolah biasa... tapi segala yang berlaku mempunyai hikmah yang besar dari Allah untuk saya... saya bertekad untuk membalas jasa dan pengorbanan mak... saya nak berjaya dan belajar bersungguh-sungguh...

saya cukup bersemangat bila bermula tingkatan satu dan cuba sedaya upaya dapat semua A dalam setiap subjek... Alhamdulillah SRP saya ... "best student" ... dan berjaya ke asrama penuh...

saya dapat melihat wajah bangga mak... walaupun saya masih belum berhenti menyusahkan mak ... sebab saya memerlukan duit poket ... saya semakin remaja ketika itu... bila pulang ke rumah ... saya selalu bercerita pada mak ... tentang agama .. tentang menutup aurat ... dan lain-lain... pada ketika itu masyarakat melayu memang masih ramai yang tidak menutup aurat... kalau menutup auratpun bila keluar rumah ... tapi bila berada di rumah.. duduk-duduk di luar rumah konsep menutup aurat masih tidak betul dan tidak menepati syariat... pada mereka ... wajib menutup aurat tu bila pergi berjalan-jalan jauh macam ke shopping complex.. balik kampung dan lain-lain ... konsep menutup aurat kepada yang bukan mahram tu tidak berapa diresapi/difahami walaupun berada di rumah...

masatu mak dah mula buka kedai runcit... susah juga pada mulanya saya nak bertudung sambil membantu mak meniaga... sebab makcik2 jiran tetangga menyatakan saya memakai "dakwah" ... masatu tudung digelar dakwah ... kelakar juga bila teringat semula.. namun saya bernasib baik mereka tidak memerli atau menidakkan pemakaian saya...

saya dibesarkan di kawasan kota .. rumah setinggan ... tempat orang-orang miskin... namun kemiskinan tidak menjadikan saya malu .. kerana saya dibesarkan oleh ibu yang berjiwa besar dan tidak memandang kesusahan sebagai penghalang untuk saya menuntut ilmu...

mak selalu cerita ... dulu mak rajin  ke surau .. sewaktu budak2 dan menjangkau remaja... mak sanggup meredah semak/kebun getah yang gelap dan dipenuhi pokok semata-mata nak dengar ceramah di surau/masjid... dan mak selalu begitu ... sehingga ke usia tuanya... sangat bersemangat mencari dan mendengar tentang ilmu .. walau bukan secara formal... kalau dibandingkan dengan saya ... yang malas... maklumlah dah ada you tube dan tv untuk mendengar ceramah...

pengorbanan mak... kisah suka dukanya terlalu banyak untuk saya nukilkan dan terlalu mahal harganya pada jiwa saya...yang tak mampu saya balas... hanya doa untukmu mak... kesayangan saya ... nenek kesayangan anak-anak saya ... dan moga mak... menjadi kesayangan Allah dan makhlukNya di alam sana... amiin

Wednesday, 3 September 2014

PhD ... belajarlah sehingga ke liang lahat

Assalamualaikum wbt...

bila ada sahabat yang bertanya tentang PhD... susah senangnya ... ada rasa terpanggil untuk menceritakannya di blog ini..

memangla PhD itu tak mudah ... tapi ianya adalah sesuatu yang mampu dicapai ... inshaaAllah..

bermula dengan mencari tajuk yang sesuai dan diminati .. serta mampu diusahakan ... dalam jangkamasa 3 ke 4 tahun... berdoalah .. buatlah solat istikharah ... minta pada Allah agar diberikan keyakinan dan dipermudahkan perjuangan dalam menimba ilmuNya...

ilmu adalah cahaya .. penunjuk jalan bagi setiap manusia... ilmu yang paling utama adalah ilmu mengenal Tuhan...agamaNya.. belajarlah... membacalah ... carilah ... jiwailah ... .. dengan izinNya pasti Allah tunjukkan pada sang pencari...yang tidak berputus harap akan rahmat dan pemberianNya...

saya bersyukur dikurniakan Allah seorang penyelia PhD yang cukup baik dan membimbing saya sepanjang perjalanan PhD yang memang sunyi (lonely journey).. moga Allah sentiasa merahmati guru saya di dunia dan di akhirat kelak ... amiin

saya juga bersyukur ketika itu masih punya ibu  yang sentiasa mendoakan saya dan menjadi tempat saya meluahkan rasa senang dan duka lara ... al fatihah untukmu mak yang sangat dirindui... ya Allah tempatkan dia bersama golongan yang Engkau cintai.. amiin

saya juga bersyukur punya suami dan anak-anak yang menjadi penyejuk mata saya dan menjadi pendorong dalam kehidupan dan pembelajaran saya....moga saya, suami dan anak cucu keturunan saya menjadi penghulu golongan yang bertakwa... amiin

PhD saya separuh masa ... kerja pula sepenuh masa... anak-anak masih kecil ketika itu... 

sebenarnya jika ditanya ... saya sendiri tak tahu macam mana saya boleh melalui semua itu... pada ketika itu.. hanya Allahlah yang membantu saya yang lemah ini...

yang saya tahu... saya sangat bersemangat nak belajar .. sebab minat dan suka mencari penyelesaian pada permasalahan PhD saya... setiap orang melalui susah senang yang berbeza-beza... 

bila saya rasa penat saya akan rehat ... adakalanya seminggu ... atau dua minggu ... tapi jika lama sangat ianya akan menjadi masalah kerana saya terpaksa menyemak semula apa yang pernah saya tulis jika ditinggalkan terlalu lama... 

tapi .. seperkara yang saya tak lupa... saya sentiasa berfikir tentang PhD saya... walau di mana saya berada... siang .. malam... tempat kerja... shopping ... duduk relax pun teringat juga... ianya melekat .. dalam fikiran saya dan tak mampu saya buang... 

perkara yang tidak dapat saya nafikan ... ketika PhD saya perlukan kawan yang memberikan nasihat.. kawan untuk saya luahkan masalah dan berkongsi cerita... Alhamdulillah... saya dikurniakan rakan yang solehah ... yang mengajar saya tentang solat tasbih... kepentingannya ... dan mustajabnya doa orang yang bersolat tasbih...

saya juga dikurniakan ibu yang sentiasa bangun solat malam .. dan sentiasa mendoakan saya ... moga anakmu ini dan cucu cicit keturunanmu seteguh dan berdisiplin sepertimu dalam melayani solat malamnya... sesungguhnya mak sangat istimewa... moga Allah menempatkanmu dalam golongan istimewa di sisiNya...

perkara yang saya tidak sangka adalah kesabaran penyelia saya dalam meneliti tulisan saya yang tidak pernah belajar agama dan secara formal (hanya 1 mata pelajaran waktu di sekolah rendah dan menengah sahaja). Saya juga tidak mengambil master dalam bentuk tesis/disertasi... Allah hu akbar... moga sabarmu guru dalam membimbing .. dikurniakan syurga untukmu...

saya juga tidak menyangka tesis saya hampir ke 400 muka surat atau lebih... sedangkan pada peringkat permulaan ianya tidak sedap langsung untuk dibaca ... 

Allahlah mendidik saya menjadi tekun dan cintakan ilmu yang saya pelajari... 
Allahlah yang mendidik jiwa saya yang keras agar lebih menyayangi dan menghargai sesiapa sahaja di sekeliling saya,,
Allahlah yang menepis setiap fitnah dan kejahatan yang dilemparkan kepada saya...
Allahlah yang mendidik jiwa saya yang mudah terluka dengan satu lapisan ... sebagai benteng pertahanan diri saya... 

sesungguhnya ... Allahlah yang menjadikan setiap kesusahan .. masalah masa... kewangan ... pekerjaan dan semuanya itu menjadi cabaran yang mampu di atasi .. dan ianya bertukar menjadi sesuatu yang positif untuk diri dan keluarga saya... 

Alhamdulillah... syukur dan segala puji bagi Allah ... 


Saya titipkan gambar kenangan bersama arwah mak, suami, anak bongsu, paklang, maklang, ani & qamarul... terima kasih ani menjadi photographer hari manis itu... pesta konvokesyen 2009 universiti malaya






Canselor ..Sultan Azlan Shah, Raja Nazrin... Naib Canselor ..Ghauth Jasmon











Thursday, 24 July 2014

Gaza dihatiku

Assalamualaikum wbt ..

hari ini 27 Ramadhan 1435 H .. 24 Julai 2014...  antara hari...hari Gaza mengebumikan para syuhada ... anak-anak kecil... ibu mereka... bapa mereka.. datuk dan nenek .. abang.. kakak.. dan adik...

hari ini juga setiap doa saya diiringi tangisan bermati-matian melihat Gaza... seolah saya mati bersama... bersama mereka yang dimuliakan Allah...

sungguh saya tiada kekuatan itu... saya tiada kesanggupan melepaskan anak-anak pergi dahulu dari saya... saya juga tiada kekuatan melihat anak-anak saya bersedih jika saya pergi dahulu... Allah mengetahui kelemahan saya... saya pohon pada Allah agar mati bersama-sama keluarga yang saya sayangi ... agar tiada ratapan tersisa .. agar tiada bebanan menuju ke syurga dan tiada bebanan menagih redha yang maha Esa...

melihat ibu dan bapa Gaza yang tabah... ya Allah.. kematian di sana sini... syuhada .. yang ruhnya dalam burung hijau di syurga yang berterbangan sekehendak hatinya...

saya .. mengharap menjadi syuhada... walaupun banyak kelemahan dan dosa tidak terpikul... walau hanya sekelumit doa dan infa untuk Gaza ya Allah ...

dunia ini hanya perlu Allah dan tenteraNya... gembira bukan masanya... lawak jenaka hanya membinasa jiwa...

terasa perjuangan mereka perjuangan saya... walau hanya dengan pena, doa dan air mata...

ya Allah bangunkanlah setiap jiwa... berilah keyakinan bahawa kemenangan semakin dekat... berilah kami kekhusyukan solat dan pemahaman serta kecintaan pada alqur'an ... berilah kami kekuatan solat malam... berilah kami kekuatan zikrullah dan kekuatan beramal pada akhir ramadhan...

ya Allah ... sesungguhnya jiwa kami lemah... kami pohon kekuatan, keampunan, rahmat dan kasih sayangMu

ya Allah ... sesungguhNya ... Engkau maha pengampun dan suka mengampunkan... maka ampunilah kami... rahmatilah kami dalam kasih dan cintaMu... terimalah doa kami untuk saudara kami di Gaza.. di Syria dan di mana sahaja.. pandulah kami jika kami tersalah... tunjukki kami jalan yang lurus ... jalan orang yang Engkau kasihi dan bukan jalan orang yang Engkau murkai...

ya Allah ... kurniakan kami kemanisan syurgaMu ... dalam cinta dan redhaMu ... amiin ya Allah ... amiin ya Rahman ... amiin ya Rahim...

Wednesday, 9 July 2014

kepadaNyalah tempat kembali

Assalamualaikum wbt,

ramai ibu bapa, rakan taulan dan manusia  di sekeliing kita telah kembali kepadaNya... samada dalam kancah perang atau dalam aman...

saya panjangkan ...moga bermanfaat

Turunnya Al-Quran ini dari Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui;Yang Mengampunkan dosa, dan Yang Menerima taubat; Yang Berat azabNya; Yang Melimpah-limpah kurniaNya; tiada Tuhan melainkan Dia; kepadaNyalah tempat kembali.

Malaikat yang memikul Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya, bertasbih memuji TuhanNya; dan beriman kepadaNya; serta mereka memohon ampun bagi orang-orang yang beriman (dengan berdoa merayu): "Wahai Tuhan kami! RahmatMu dan IlmuMu meliputi segala-galanya; maka berilah ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta menurut jalanMu, dan peliharalah mereka dari azab neraka.

Tidakkah mereka telah berjalan dan mengembara di muka bumi, dengan itu tidakkah mereka memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu dari mereka? Orang-orang itu adalah orang-orang yang lebih dari mereka tentang kekuatan tenaga dan tentang kesan-kesan usaha pembangunan di muka bumi. Maka sekalipun demikian, Allah binasakan mereka dengan sebab dosa-dosa mereka, dan tiadalah bagi mereka sesiapapun yang dapat menyelamatkan mereka dari azab Allah.

Dia lah yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari (setitis) air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging; kemudian Ia mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian kamu (dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; kemudian kamu (dipanjangkan umur) hingga sampai menjadi tua. Dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan sebelum itu. (Allah melakukan kejadian yang demikian) supaya kamu sampai ke masa yang ditentukan (untuk menerima balasan); dan supaya kamu memahami (hikmat-hikmat kejadian itu dan kekuasaan Tuhan).

Surah Ghafir 40:2-3,7, 21 & 67

Sunday, 29 June 2014

Cintai al-Qur'an

Assalamualaikum wbt,

Ramadhan kareem untuk semua... Allah hu akram... saya panjangkan..

Ceramah Cintai al-Qur’an, Penceramah: Ustaz Wan Mohd Nor bin Wan Ali, Anjuran Perpustakaan Tunku Bainun UPSI, 27 Jun 2014

Bismillahirrahmanirrahim

Ustaz berasal dari Kelantan, Ijazah dari Al-Azhar Mesir, Pensyarah Darul Qur’an, Pendakwah yang sering diundang di seluruh negara, penceramah tetap di masjid al-Mursyidin UPSI pada setiap hari Ahad

Pada pagi yang mulia ini diberi oleh Allah umur yang panjang... dapat kita berkumpul di dewan ini untuk mendengar ilmu ... yang dipeluk oleh malaikat ... yang mendoakan kita dan merahmati kita...

Hari ini hari yang terkahir syaa’ban.. kerana esok kita akan melihat anak bulan ramadhan...
Al-Quran adalah bacaan yang paling utama dalam kehidupan seharian kita..

Makin dekat dengan bulan ramadhan para sahabat Nabi saw... bersungguh-sungguh berdoa kepada Allah .. ya Allah berkatilah kami pada bulan rejab dan syaaban dan sampaikanlah ke bulan ramadhan..

Saban hari keluarga, sahabat dan ulama ramai yang telah pergi meninggalkan kita... tanpa sempat ke bulan ramadhan... jika kita berniat dan berdoa untuk sampai ke bulan ramadhan... insha Allah mendapat pahala pada mereka yang sama masuk ke bulan ramadhan...

Jika pemimpin datang ... kita sambut.. membuat persediaan untuk menyambutnya.. tanda hormat ... kita berdiri... jika cinta pada Allah ...sebut nama-nama Allah... cinta Nabi saw... berselawat padanya...  jika nak masuk ramadhan.. sentiasa menyebut-nyebut ramadhan ... untuk meningkatkan rindu... boleh berlagu /bernasyid...”ramadhan shahrul ridwan... ramadhan shahrul qur’an... ramadhan shahrul siyam”...

Ramadhan adalah bulan al-Qur’an... mencintai al-Qur’an adalah kewajiban....

Anak Adam adalah makhluk yang paling mulia dibandingkan dengan segala makhluk.... makhluk yang mula-mula memasuki syurga... adalah Nabi saw.. kemudian Jibril as... kemudian para nabi... kemudian malaikat2 lain...

Allah menciptakan manusia sebagai ciptaan terbaik... diberikan oleh Allah akal...dan menjadikan akal itu memerlukan panduan al-Qur’an... supaya dapat melihat yang benar dengan yang salah...

Al-Qur’an pada bahasanya... adalah bacaan... dari sudut istilah... satu lafaz dalam bahasa Arab yang menjadi mukjizat...

Pada zaman nabi Musa as... sihir sangat hebat.. Allah bekalkan pada Nabi Musa as .. tongkat...sebagai mukjizat

Pada zaman jahiliyyan Arab.. mereka sangat berminat dengan majlis syair dan sastera... sampai di kaabah digantungkan syair... jika penyair memuji dunia/wanita... masyarakat akan terpegun...
Antara mukjizat yang dianugerahkan Allah kepada Nabi saw adalah al-Qur’an yang mempunyai bahasa yang cukup tinggi .. menundukkan sastera zaman jahiliyyah....

Contoh ..Alif Laam Miim...diikuti dengan pujian terhadap al-Qur’an.. ayat yang tidak difahami permulaannya... oleh masyarakat jahiliyyah... akibat kehebatan al-Qur’an ramai memeluk Islam...

Al-Qur’an diwahyukan dengan perantaraan jibril as...dicatatkan dalam mashaf.. dikira sebagai ibadah jika membacanya...

Nabi saw.. dipeluk .. disuruh baca oleh Jibril... balik dalam ketakutan kepada Siti Khadijah ra... ditanya kepada Waraqah bin Naufal... bapa saudara Siti Khadijah ra..

Waraqah menerangkan bahawa ianya adalah wahyu ... dan Muhammad saw adalah seorang nabi...

Wahyu pertama adalah iqra’... “bacalah... bacalah dengan nama Tuhanmu..”...

Nabi saw tidak pandai membaca dan menulis... namun Nabi saw diperakui dengan jujur sebagai pemimpin terhebat di dunia ini...

Mana mungkin seorang yang tidak cerdik .. mampu membina ketamadunan...mampu memimpin negara..

Setelah 9 tahun Nabi saw membangunkan Madinah... kerajaan Rom yang kuat ketika itu merasakan Madinah sebagai saingan...

Sebenarnya buta huruf Nabi saw (ummi) adalah sebagai satu mukjizat... kerana Nabi saw diajar oleh Allah Taala dalam segala segi....

Al-Qur’an ditulis oleh para sahabat .. lebih kurang 40 orang sahabat… pada pelepah tamar… batu …

Al-Qur’an sangat hebat… di antaranya… 1. Sebagai sumber hidayah .. 2. Kitab yang syumul... 3. Kekal tanpa sebarang perubahan... 4. Sebagai syifaa/penawar... 5. Sesuai sepanjang zaman...

Pergilah ke majlis ilmu ... baru tahu keistimewaan al-Qur’an...

Bacalah qur’an dengan bacaan yang tartil...faham makna... tahu ayat yg amaran... ayat gembira...

Al-Qur’an adalah hidayah... petunjuk...  pedoman... dalam sebarang isu... contoh takdir... Allah tentukan takdir setiap sesuatu... dalam qur’an ada ekonomi membina negara... pendidikan .... tentera... guru.. semua diajar dalam qur’an dan hadith menerangkannya...

Al-Qur’an adalah kitab yang syumul... sekecil-kecil masalah hinggalah kepada sebesar-besar masalah terdapat dalam al-Qur’an...

Al-Qur’an adalah kitab yang kekal .. istimewa ... dan dijaga oleh Allah... oleh itu kita lihat cemburunya yahudi dan nasrani.. sehingga sanggup hendak menambah-nambah al-Qur’an.. namun dapat dikesan... contoh disemak oleh al-Azhar  ada penambahan 4 surah baru.. apabila permusuhan secara fizikal terhadap al-Quran tidak berjaya .. mereka berjaya menjajah pemikiran... contoh bola piala dunia... rating penonton adalah sangat tinggi berbanding penonton musabaqah al-Qur’an... majlis belajar al-Qur’an paling tidak ramai... majlis ceramah Alhamdulillah ramai...
Al-Qur’an sebagai penawar... contoh anak demam... dibacakan pada ubun-ubun anak... cari al-Qur’an dahulu jika berlaku sakit, patah dan lain2.. kerana al-Qur’an adalah penawar..

Kisah pada zaman Nabi saw... pada satu kawasan kampung yang belum Islam.. penghulunya sakit .. sudah dijampi orang kampung... tetapi masih sakit... sahabat Nabi saw yang tidur dipinggir kampung dipanggil untuk mengubat... sahabat tersebut membacakan ayat al-Qur’an  surah al-Fatihah... penghulu sembuh... sahabat diberikan kambing... Nabi saw .. menizinkannya untuk makan kambing tersebut... perubatan Islam dengan izin Allah ... boleh mengambil upah...

Al-Qur’an sesuai sepanjang zaman… siapa yang menyatakan al-Qur’an tidak sesuai sudah terbatal aqidah… al-Qur’an telah menyebut kehebatan sains … jika kita diasuh dengan pendidikan barat… barat menyatakan sains datang dari barat… contoh perubatan ... orang barat telah cuba melenyapkan Ibnu Sina pakar perubatan Islam yang hafal al-Qur’an...

Dalam al-Qur’an Allah telah mencabar manusia... jika tidak percaya kepada hari kebangkitan.. Allah berfirman dalam qur’an  tetang penciptaan manusia, tentang astronomi, tentang perundangan dan lain2

Pengalaman ustaz sebagai pendakwah...Jika dahulu hukum-hakam Islam takut dinyatakan di masjid dan surau...takut dikatakan politik... namun sekarang ilmu yang benar dari al-Qur’an sudah dibukakan oleh Allah pada hati masyarakat Malaysia dan para pemimpinnya...

Bala bencana sekarang ini .. jenayah berleluasa... culik... rompak... bunuh....jenayah perlu diadili dengan hukum Islam... hukum yang datang dari Allah Taala... yang dinyatakan di dalam al-Qur’an

Kelebihan membaca al-Qur’an ... 1. Insan yang terbaik... 2. Mendapat ganjaran pahala... 3. Diberikan syafaat... 4. Dipakaikan mahkota kepada ibu bapanya ... 5.. Tenang jiwa...

Orang yang hebat bagaimanapun.. jika tak belajar qur’an dan mengajar qur’an .. bukan yang terbaik... yang terbaik di sisi Allah adalah yang membaca al-Qur’an .. mengajar al-Qur’an...

Miskin dunia seperti Bilal bin Rabah... kaya diakhirat….
Kaya dunia kaya diakhirat… Abdul Rahman bin Auf.. Othman bin Affan..
Kaya tidak salah... zuhud bukan miskin... tetapi zuhud adalah..orang yg tidak terpesona dengan dunia

Mendapat ganajaran pahala yang banyak kepada si pembaca al-Qur’an... diberikan syafaat daripada Allah.. al-Qur’an memberi syafaat pada pembacanya... membantu kita di hari timbangan dan pembalasan... al-Quran akan meminta pada Allah ganjaran syurga pada si pembacanya... menyelamatkan kita di akhirat kelak

Dipakaikan mahkota kepada ibu bapanya... jika anak-anak membaca al-Qur’an...

Orang yang baca qur’an .. tenang jiwanya...carilah suami/isteri/menantu yang tenang jiwanya... hasil dari bacaan al’qur’an dan amalannya...

Tanggungjawab terhadap al-Qur’an... 1. Belajar membacanya dengan bertajwid... 2. Membacanya... 3. Menghafalnya... 4. Tadabbur maknanya... 5. Amalkannya dalam kehidupan.. 6. Berdakwah dengannya..

Orang yang menghafal al-Qur’an ... bersinar hatinya...
Adab membaca al-Qur’an 1.. dalam keadaan bersih dan berwudhu ..2. ditempat bersih... 3. Menghadap kiblat.. 4. Bersihkan mulut sebelum membcanya.. 5. Membaca istia’zah sebelum membacanya.. 6. Membaca dengan tartil... 7. Bertadabbur maknanya... 8. Baca dengan suara merdu.. 9. Khusyu’ dan focus ketika membacanya...

Belajarlah bagi mereka yang tidak pandai membaca al-Qur’an...baca dan praktikkan ... faham maknanya...

Surah-surah al-Qur’an disusun dengan kehendak Allah ... dengan tadarus yang disemak oleh malaikat Jibril..

Haram membaca al-Qur’an dengan orkestra... dan melagukannnya dengan lagu-lagu bukan lagu al-Qur’an

Belajarlah bahasa Arab untuk membantu memahami maksud al-Qur’an... atau sekurang-kurangnya mengikuti kelas/ceramah tafsir al-Qur’an

Moga kita memasuki ramadhan dalam keadaan bertaqwa dan keluar ramadhan dalam keadaan bertaqwa...

Assalamualaikum wbt..




Sunday, 22 June 2014

Seandainya ini Ramadhanku yang terakhir

Assalamualaikum wbt,

Saya mohon ampun dan maaf atas segala kesalahan dan kelemahan.. mohon dihalalkan segala ilmu dan makan-minum.... ... moga Ramadhan kali ini menjadi Ramadhan yang cemerlang untuk kita semua... amiin... saya panjangkan ....seperti ilmu yang disampaikan oleh ustaz seperti di bawah:

23 Jun 2014 9.00-11.30 am Dewan Sri Tanjung, Anjuran Pusat Islam UPSI
Penceramah: Ustaz Harith Fadzilah bin Haji Abdul Halim... Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak

Ini adalah ulangkaji .. persiapan untuk menanti tetamu agung iaitu Ramadhan al-Mubarak....

Ramai yang telah pergi menerima panggilan Illahi... terlalu mudah … ramai yang telah pergi dahulu… ibu bapa juga ramai yg telah pergi dahulu… kadangkala … tidak sempat anak-anak hendak berbakti kepada ibu bapa….

Kepercayaan dan keyakinan kepada alam akhirat.... analogi: seorang penembak tepat... nak tembak mineral water kat atas kepala patung... bila dia tembak... kita percaya dengan ketepatannya... bila tembak kali kedua ... objek yang paling kecil.... tembakannya... sangat tepat... patung tidak terjejas... tetapi jika kita diminta menggantikan patung... adakah kita percaya/yakin kepada penembak tepat .. bahawa beliau tidak tersasar dan mengenai kita.... di sini persoalan keyakinan... bila kita lihat kita yakin ... tetapi jika kita berada sebagai pengganti patung ... keyakinan kita goyah... mereka yang yakin dan tidak sabar menanti akhirat ... adalah orang yang mempunyai keimanan yang mantap.. keyakinan yg sangat mantap....

Cuaca hari ini... panas.... mengikut ulama Yaman.... banyak-banyakkan banyak membaca surah al-Kahfi…10 ayat awal dan 10 ayat akhir... fenomena alam yang semakin mendekati kemunculan dajjal… teknologi yang canggih ...bila dibincangkan … menepati apa yang Nabi saw perkatakan…. Jika si suami yg baca surah al-Kahfi tidak mampu menolong isteri… begitu juga anak-anak… jadi setiap diri perlu membaca surah al-Kahfi

Persaingan berlaku di dunia… perjuangan mencipta amal-amal soleh… siapa yang hebat … siapa yang mengharap pertemuan dengan Tuhannya… hendaklah dia berlumba-lumba membuat amal soleh… dan jangan sekali-kali menyekutukan Allah Taala….

Jangan terlalu taksub dengan seorang guru… biar berguru dengan banyak guru… Imam Malik, Imam Shafie dan lain2 … berguru dengan beribu-ribu guru…. Bab fikah tidak mengapa jika berbeza… tetapi jika salah dari segi tauhid (tentang akidah atau keTuhanan dan pengesaan Allah) guru jenis ini perlu ditolak...

Yang halal itu tetap ... yang haram itu tetap ... kita tidak boleh mengaharamkan yang halal dan mengharamkan yang halal... contoh persoalan mahram... tidak halal bersentuhan dan membuka aurat pada yang bukan mahram...

Bila datang bulan Ramadhan .. Allah buka 8 pintu syurga... Allah hias semuanya.... Allah tutup pintu neraka.... Allah nak beri ummat Muhammad saw untuk melakukan ibadat sebanyak-banyaknya...

Jangan ambil remeh perkara yang kecil... contoh dosa mengumpat... walaupun dipandang remeh ... namun serius di sisi Allah ... merupakan dosa besar ...

Allah janjikan keampunan... tetapi malang sekali jika masuk bulan Ramadhan ... ada yang mendapat 0 nilainya... oleh itu jaga 4 perkara... 1. Jangan minum minuman keras... 2. Jangan derhaka pada ibu dan ayah... mohon ampun sebelum ramadhan... 3. Berterima kasih kepada Allah.. dan taat pada ibu bapa... 4. Jangan memutuskan silaturrahim... tidak bertegur sapa saudara seagama lebih dari 3 hari

Puasa perut lapar... nafsu kenyang.. mudah melakukan ibadat.. mohon ampun dan maaf pada mak ayah… ziarah ke kuburannya… doa dengan penuh harapan… keluarkan air mata di hadapan Allah… Allah tidak perlukan air mata kita .. Allah maha sempurna… kita manusia yang perlukan Allah…. Allah suka mendengar rintihan kita…

Taatlah pada Allah dan taat pada Rasul saw... jangan tolak Nabi... batal iman... nauzubillah.. kita tidak mengagungkan Rasul seperti Allah... tetapi mencintai Rasul adalah jalan... untuk mencintai Allah...
al-Qur’an .. firman Allah ... merupakan asas... tafsirannya secara penuh dari lidah Nabi saw... bacalah qur’an .. ianya ibadah... kajian sains... terkini... telah dinyatakan dalam al-Qur’an ribuan tahun dahulu... contoh pakar anatomi di Thailand .. dalam stesen radio telah mengucap shahadah.. kerana melihat kehebatan al-Qur’an...

Surah an-Naml (surah semut) ... telah diberi ilmu kepada seorang manusia pada zaman Nabi Sulaiman.. dari kitab Taurat.. boleh bawa singgah sana dengan sekelip mata... zaman ini boleh hantar objek melalui gelombang!!!... German boleh buat.. subhanAllah... al-Qur’an bukan mainan... bongkarlah ilmunya ... kajilah...sepuasnya

Rajin bersedekah dan berzakat di bulan Ramadhan.... yakin dengan janji Allah... tidak akan miskin mereka yang suka bersedekah dan berzakat...

Nak kaya... banyak istighfar pada Allah... hujan akan turun mencurah-curah.. anak-pinak yg ramai... dan rajin bersedekah... kisah saiyidina Fatimah... memberikan pada Saiyidina Ali .. 6 dirham... untuk beli makanan... dipertengahan jalan ditahan oleh orang miskin... yang memohon memberikan sedekah sebagai pinjaman kepada Allah.... habis disedekahkan duitnya.. Allah gantikan dengan lebih banyak ... Saiyidina Ali menerima balasan dari Allah ...yang diberi unta oleh Jibrail dan dibeli oleh Mikail dengan 600 dirham...

Berterima kasih kepada Allah.. dan taat pada ibu bapa... doa yg datang dari alQur’an adalah doa paling mustajab… kedua dari Nabi saw...

ada 5 jenis ibu bapa... 1.ibu bapa kandung... 2.ibu bapa susu... (mesti susukan 2 tahun ke bawah.. ibu susu mesti umur 9 tahun ke atas... susu sampai ke perut... 5 kali kenyang… ibu susu hidup dan sihat)…3.mak bapa angkat yang pelihara dari kecil…4.mak bapa mertua.. walaupun sudah bercerai… tiada istilah bekas ibu/bapa mertua.. tidak batal wudhuk sampai bila-bila… beruntung anak-anak yang ibu bapa suka tinggal dengannya… sebenarnya Allah sedang mengatur syurga untuk anda… 5. Bapa dan ibu tiri… atau ibu dan bapa tiri

Ramadhan adalah pesta ibadah.. jangan ikut nafsu...

Bermaaf-maafan sebelum Ramadhan... Allah yang akan membalas puasa kita… jika sampai ke maqam iklhas... Allah akan menyambut dan menerima kita... dikenali oleh penduduk langit.. ditunggu .. oleh mereka .. amiin ya Rabb..

Wednesday, 18 June 2014

Sungai Besar Selangor Malaysia

Assalamualaikum wbt,

dalam kesibukan ... Allah lapangkan ...

kami ke Sg Besar Selangor untuk bengkel kompilasi buku jabatan ...

Nama destinasi.... Dorani Bayu Resort ... kami sampai ... air sedang surut...



bila air laut dah pasang...


di sini ada jeti tempat anak2 bersantai di petang hari menunggu ayah/abang pulang dari laut...


nelayan pantai...


indah pemandangan jeti ...



aktiviti ...si kaki pancing ... bila air laut mula pasang

ehm .. adik pun nak belajar macamana nak mengail...

bangau pun ada... mencari rezeki di tepian pantai...


air laut pasang menghempas batu di tepian pantai...ketenangan yang Allah ciptakan untuk semua makhluknya...




belacak ... ni banyak terdapat di gigi pantai...


moga Allah mencemerlangkanmu di dunia dan di akhirat duhai anak... amiin


ehmm...



saya dan photographer saya... moga kenangan indah ini hingga ke syurga ..amiin..


Ehm... tadi dapat sekor je... ni pindah tempat lain pulak ... sebelum senja...

Ehm... mana tumpah kuah kalau tak ke nasi...

Di tepi pantai mana-manapun dalam dunia ni... memang banyak kulit siput macam ni.....


Hari dah semakin senja....



Masya Allah ... senja yang cukup indah untuk diungkap dengan kata-kata......


Melihat dan berzikirlah... sesungguhnya semua makhluk dijadikan oleh Allah untuk mengagungkanNya.....menyembahNya... dan mengingatiNya......


 Malam dan siang silih berganti.... kasih sayang Tuhan pada hambaNya... menjadikan malam sebagai masa untuk berehat dan mencari misteri kejadian malam dengan tahajud yang cahayaNya akan menyinar di hari kiamat....


Selepas subuh ... dari Dorani Resort .... melihat matahari yang tidak pernah ingkar pada perintah Allah .... menyinar dengan zikrullah....


Air surut semula.....


Dari jendela.....


nelayan pulang ....


ni hasil nelayan pantai  adik n ayah.... hehehe...


dari Sg Besar kami melalui ... kawasan padi di Sekinchan...

Pemandangan di daerah Sg Besar dan Kuala Selangor ini memang indah ... pada mereka yang gemarkan panorama alam.... makanan kampung besss macam mentarang.... mangga... air mangga yang ehmmm fresh... boleh di dapati sepanjang jalan.... air nira pun ada.... tapi tak amik gamba.... jagung pun banyak.... keropok/kerepek memang banyak..... 

 ni mentarang bakar... sangat sodapppp...

Dorani resort ni untuk chalet atas laut tu RM150 ... memang berbaloi kalau nak lihat air pasang surut... pantai.....matahari dan keindahan alam .... boleh amik gambar ikut suka.... ramai je pengantin amik gambar kat sini .... macam2 sesi ada.....


Sunday, 20 April 2014

Umbai ... Melaka....

Assalamualaikum wbt...

Melaka... menggamit kenangan indah ketika remaja.... pernah saya belajar di sana... Jasin... bila nampak signboard kat bawah ni... ha ni lah dulu jalan pergi sekolah ummi... sibuk berceloteh dan tersengih-tersengih... mengimbas kenangan lalu dengan rakan-rakan dan guru-guru.. dan ustaz yang masih terpahat dalam ingatan....

Kami sudah kepetangan... maksudnya dah nak hampir malam ...hehehe... setelah menelefon Pak Lah Chalet sebelum bertolak ... dan masih ada satu bilik kosong ... maka... copy paste aje alamat yang diberi pada google map...

Inilah rupanya Pak Lah Chalet... cantik juga pada waktu malam...


Setelah menunggu along balik sekolah... adik memang ponteng sekolah petang... (tak baik ponteng... jangan amalkan)... kami amik angah dan bawa terus ke Umbai... inilah muka penat... tak nak senyum walaupun amik gamba berkali-kali...

Sampai ke Chalet .. check in... letak beg... solat... kami keluar menghirup udara malam .. dan menahan perut kelaparan... sasaran kami Perkampungan Ikan Bakar Terapung Umbai .. memang dekat ... dalam 10 minit dah sampai dari Pak Lah Chalet...



sampai je kat tempat makan tu... kami tak terus masuk kat restauran yang dekat dgn pintu gerbang ...sebab banyak sangat orang... kami pilih yang berhampiran laut.. wlaupun tak nampak laut sebab gelap gulita... sebab tujuannya nak merehatkan otak anak2 yg dah penat ni...

Kedai yang kami pilih ni tak berapa ramai .. nama kedai ....Kedai Shima... ada tempat duduk dan terus tengok apa menu yang dia ada... memang sangat rindu nak makan seafood .. setelah 2 tahun tak dapat balik Malaysia...



jadi ... kamipun order ... makanan yg tak pernah makan sebelum ni... pepahat... nak cuba je...

Udang goreng butter... ummm sodap...

Disebabkan kami ramai... amik je air tembikai satu jug...

Sotong goreng tepung dan ikan masak 3 rasa...

lepas makan kami pegi tengok laut.. posing jap... walaupun muka memasing penat bangat....
 

kat bawah ni... rupa medan..deretan kedai... tempat makan tu waktu malam....

kami pusing-pusing sekitar medan selera terapung tu....

ada org memancing dalam suram malam..... sambil meredakan perut yang kekenyangan... kami menikmati indahnya alam ciptaan Allah pada waktu malam...dan menghirup udara laut... yang nyaman

Esoknya... pagi-pagi lepas subuh ... kami kena bersedia... sebab nak ke bandar Melaka... gambar kat bawah ni ada orang tu dengan sengihan yang masih mengantuk ...di luar Chalet Pak Lah



Kami singgah jap kat pantai ... masih di Umbai ... rasanya sempadan Serkam...

kami meneruskan perjalanan ke Bandar Melaka.... kami jumpa banyak masjid  dan maqam Sultan..macam kat bawah ni...


Sampai kat bandar Melaka ... cari tempat parking... dekat dengan tempat kawasan pelancong... supaya senang boleh jalan kaki je.... kat bawah ni gambar kat kedai cenderahati ... kat bangunan merah tengah-tengah bandar tu...

ada banyak beca... tapi kami tak naik ... sebab anggota keluarga ramai... dan 1 beca hanya boleh muat 2 orang... harganya pulak RM25... ish... kalau naik mahunya rabak poket... sampai RM75 ... sebab amik 3 beca huhu

jadi ... kami menonton je... sebab becanya cantik-cantik... di tanah air sendiri...

Ni .. keretapi lama... ada tempat duduk berhadapan keretapi ni... kamipun duduk melepaskan lelah ... menonton kerenah pelancong  dan keretapi yang tidak bergerak ...

kami jalan lagi dan snap gamba depan muzium setem Melaka

ni contoh-contoh ada banner kat muka pintu dia...

lalu pulak kat depan muzium Dunia Melayu Dunia Islam....



dan kami jalan lagi ke arah belakang dan bertemu bangunan yang kita semua belajar sejarah waktu sekolah rendah.... A Famosa....


 Kat sebelah A Famosa ada Istana Kesultanan Melaka....Nak masuk bayar 2 ringgit.....

Ada tempat sultan melaka dan pembesar2 sedang bersidang....menerima tetamu dari Jawa...

Muka2 pembesar Melaka waktutu... ilham artis...

Ni pulak tempat beradu raja....

Ada pulak org tu nak amik gamba dia sebelah contoh pakaian panglima/Melayu Melaka...

Terdapat juga lukisan-lukisan tentang hukum kanun yang dijalankan di Melaka... kita kenalinya sebagai hudud...




Kemudian ... kisah Hang Tuah dan Hang Jebat...






Lepas tu... Kisah Hang Tuah membunuh Hang Jebat



Terdapat pelbagai jenis keris dipamerkan...




Ni contoh pedagang-pedagang dari Jawa yang datang ke Melaka pada masa Kesultanan Melayu Melaka...

Permainan muzik lama...

Ehm... kamilah tu ... kenangan di Melaka... untuk dihayati ....



Peminat segala yang terbang ... helikopter...


Ni... kami tak naik... lalu je kat sebelah kawasannye...

Museum Maritim...


Kincir air Kesultanan Melayu Melaka...


Inilah rupanya laluan yang ketika dahulu sangat sibukkk .. dengan pedagang....

Bangunan Merah yang biasa kita belajar Sejarah ... waktu Belanda datang ...

Dan... kami pun singgah kat Surau Antarabangsa ni... masatu dah zuhr...

Dari atas surau along amik gambar tengah2 jalan yg ada signboard ... mengikut keupayaan dan kreativiti kamera dia...


Dalam Surau Antarabangsa....ada gamba masjid lama....yang kami tak sempat snap waktu lalu kat serkam...




Ada juga tabuh/beduk...yang diketuk memanggil orang untuk solat...  yang menjadi soalan bertalu2 dari seorang Pak Arab tu kepada suami... " kenapa pakai alat ni ... kenapa tak azan je"... ni masa dulu... masa takde speaker... jadi orang Melayu ketuk benda ni dulu ... lepas tu azan... ehm ... Pak Arab macam tak puas hati ... kenapa tidak azan sahaja.... itu dulu... sekarang dah ada mikrofon dan speaker .. org tak guna dah...


Bangunan merah...


Masa... untuk bertolak pulang....